Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)  bagi mengembalikan maruah parti Melayu itu yang tewas dalam pilihan raya lalu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia adalah satu-satunya peluang terdekat dan terbesar untuk UMNO kembali menjadi kerajaan dan mentadbir negara ini.

“Usah kita menunggu sepenggal dua lagi. UMNO mesti segera kembali menjadi kerajaan dengan cara bermaruah, demokratik dan berdasarkan mandat sebenar rakyat.

“Hanya dua kemungkinan yang ada, sama ada kita menang dan memerintah atau kita sekali lagi menjadi pembangkang dan diperkotak-katikkan!

“Kita tiada pelan B atau apa-apa pelan lain pada waktu ini. Kita mesti menang.

“Kita optimis untuk menang. Kita mesti memerintah semula. Dengan usaha dan aliran pemikiran sedemikian, Insya-Allah kita boleh dan akan menang,” katanya berucap pada Perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diiringi barisan kepimpinan tertinggi UMNO hadir pada Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

Mohamad juga menegaskan, bagi tujuan itu, UMNO perlu menguruskan mana-mana pemimpinnya yang berpura-pura mendukung parti tetapi jiwa mereka sebenarnya telah ‘dibeli’ dengan murah sekali.

“UMNO tidak boleh terkeliru tentang siapa musuh kita sebenarnya. Ini kerana menghadapi musuh nyata adalah lebih mudah, daripada menentang musuh tersembunyi. Api dalam sekam sifatnya membakar lebih teruk, lebih sakit dan lebih memusnahkan.

“UMNO sepatutnya sudah tahu siapa mereka, walaupun tanpa perlu untuk disebutkan di sini. Cuma, beringatlah, musuh kita amatlah licik dan sanggup berbuat apa sahaja untuk memusnahkan kita.

“Mereka ini masih memerlukan UMNO untuk bernaung tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain. Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat kebendaan,” katanya.

Mohamad juga menyifatkan pemimpin UMNO yang berpura-pura itu tidak lebih daripada sekadar tunggangan dan apabila parti itu menjadi kuat, mereka dekat, sebaliknya apabila lemah, mereka mengalah.

“Ingat, UMNO ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya,” katanya.

Katanya lagi, UMNO mesti menegaskan bahawa sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam adalah musuh UMNO.

“Selagi mereka tidak melepasi batas ini, UMNO sangat terbuka untuk meneroka segala jalan kerjasama yang ditawarkan.

“Namun, setakat mengenali musuh sahaja, tidak akan menjayakan UMNO dalam PRU akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Hidup Tok Mat! Jgn sesekali bagi muka kepada pengkhianat2 ni..dan jgn satu pun kerusi UMNO yg dikhianati oleh katak2 musibat spt di Jeli, Mersing, Masjid Tanah diserahkan kpd Bersatu…mrk ni semua ahli politik hina, kaki pembohong, pengkhianat mandat rakyat dan parti serta tak bermaruah!

  2. Bermaruah sgt la nak bela pemimpin korup balaih duit rakyat? UMNO terus mara, kekal balaih duit negara.

Comments are closed.