Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap selepas pada Perasmian Persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR –  Semua ahli UMNO yang memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa meletak jawatan pada hari ini.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, gesaan itu dibuat berikutan Ucapan Dasar Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelas beliau, ucapan Ahmad Zahid itu bagus, bernas dan tegas apabila beliau telah menerima respon dan cadangan daripada bahagian-bahagian parti itu.

“Seolah-olah beliau bukan sahaja respon tetapi menerima cadangan-cadangan daripada bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan dan menegaskan sekali lagi yang diputuskan oleh MKT (Majlis Kerja Tertinggi) untuk putuskan hubungan dengan Bersatu.

“Dan bererti semua ahli UMNO yang Menteri, Timbalan Menteri yang pegang jawatan Pengerusi GLC mesti tarik diri kalau boleh hari ini,” katanya.

Beliau diminta mengulas Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya itu berkata, UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Kata beliau, semua ahli UMNO sedar bahawa Bersatu tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya, dan tidak mempunyai sokongan akar umbi.

“Penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li berkata, UMNO tidak berdepan masalah untuk bertanding secara solo dan yakin akan menang dalam pilihan raya.

Malah tambah beliau, selama ini pun parti terbesar orang Melayu itu telah bertanding secara bersendirian.

“Kalau tidak yakin menang, macam mana nak bertanding. Sebelum ini kita pun bertanding solo.

“Penerimaan rakyat untuk Barisan Nasional baik, tinggal kita belum kempen sampai ke bawah dan orang kita sudah gerak bawah cuma kita tidak perhebat lagi,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ahmad Zahid mengecilkan hati Pas, Tengku Razaleigh berkata, kini terserah kepada parti tersebut menentukan hubungannya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Terpulang kepada Pas. Lepas kita tarik dari, Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi GLC kita akan berhenti dan tidak ada lagi kena mengena dengan Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan lawan PN, kalau Pas ada situ, kita lawan dia apa nak buat, kalau dia dalam MN, dia kena asing dalam PN sebab UMNO tidak anggota PN,” katanya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Dia tak dapat jadi ketua,lalu dipeningkan ketua. Suruh semua menteri UMNO letak jawatan, habis tu macam mana dengan kerajaan Perak, Johor dan Sabah. Nak berputus arang sekalipun tunggu lah selepas PRU.

  2. Suruh orang lain letak jawatan hari tu tetapi dia sendiri tak letak jawatan pun. Justeru, dia tiada jawatan apa pun sekarang.

Comments are closed.