Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berjalan keluar selepas menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Apa akan jadi kepada kesatuan, perpaduan dan kestabilan menjelang pilihan raya sekiranya UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mahu bertanding semua kerusi, soal bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ketua Bahagian UMNO Sembrong itu berkata, parti berkenaan masih mempunyai masa untuk membuktikan bahawa ia betul-betul mementingkan kestabilan dan kesepaduan.

“Pendirian kita penting hari ini kerana kalau sekiranya dengar apa PM sebut semalam, Bersatu akan bertanding semua kerusi, UMNO bertanding semua kerusi, Pas bertanding semua kerusi.

Apa akan jadi kesatuan, perpaduan dan kestabilan menjelang pilihan raya yang akan datang?

“Yang penting sekarang kita semua jangan hanya cakap retorik, kalau betul-betul berpegang kepada kestabilan, hala tuju, saya rasa ada masa untuk kita duduk memikirkannya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung parti itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, hanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang boleh menentukan bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan.

“Terlalu awal, bukan kita yang menentukan bila pilihan raya, yang menentukan pilihan raya adalah Perdana Menteri,” ujarnya.

Zahid menegaskan parti itu berpegang kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. PAS dan UMNO tidak akan bertanding sesama sendiri…tp UMNO akan bertanding dgn Bersatu jaaa…apa lah ko bebal sangat ni Hishamudin..tak faham2 kah

  2. Yang bebal ni Amno .Dah jadi sebahagian kerajaan tapi nak hentam kerajaan sendiri.Memang bebal la kau ni..

Comments are closed.