Lazio didenda manakala presiden kelab digantung tujuh bulan kerana ingkar protokol Covid-19 dan merahsiakan pemain positif Covid-19

LONDON – Kelab bola sepak Lazio didenda £128,000 atas kesalahan melanggar protokol Covid-19.

Presiden kelab berkenaan turut dihukum gantung selama tujuh bulan atas kesalahan sama.

Kelab Serie A Itali itu didakwa gagal melaporkan kes positif Covid-19 dalam kalangan pemain dan kakitangannya kepada Jabatan Kesihatan tempatan.

Kesalahan itu ditemui hasil siasatan yang dilaksanakan oleh Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC).

Tambahan pula, Lazio membenarkan tiga pemain mereka menghadiri sesi latihan pasukan selepas ujian saringan Covid-19 mengesahkan positif jangkitan pandemik itu.

Mereka juga disenaraikan sebagai pemain asimptomatik atau jangkitan tak bergejala yang sepatutnya menjalani kuarantin kendiri.

Dalam perkembangan sama dua doktor perubatan pasukan itu juga digantung selama 12 bulan atas kesalahan merahsiakan kes positif pemain pasukan selain mengingkari SOP Covid-19.

Lazio dalam kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya akan merayu ke atas keputusan denda dan penggantungan Presiden kelab itu.

Padang latihan kelab itu telah diperiksa dan disanitasi manakala keputusan ujian swab atau calitan telah diambil pada November lalu semasa penyiasatan kemungkinan pengingkaran protokol SOP Covid-19 di kelab itu.

FIGC telah melaksanakan denda dan penggantungan Presiden kelab itu pada Februari lalu dan merujuk kes berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan di Itali yang kemudian menetapkan pelaksanaan hukuman itu pada Jumaat lalu.

Lazio yang diambil tindakan kerana bersikap cuai dalam pemantauan protokol kesihatan Covid-19 yang sedang dikuatkuasakan secara tegas di negara tersebut menafikan kesalahan itu.

Dalam satu kenyataan, Lazio menyatakan kelab itu percaya pada keadilan sukan dan mahu mencabar keputusan tersebut. -MalaysiaGazette