Friday, April 26, 2024
Home Utama Covid-19: Kes harian kembali 3 digit selepas empat bulan

Covid-19: Kes harian kembali 3 digit selepas empat bulan

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan sifar penularan kes tempatan pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali Kementerian Kesihatan (KKM) mencatatkan jumlah kes tiga angka Covid-19 dengan 941 kes baharu pada hari ini selepas hampir empat bulan kes harian mencecah empat angka.

Kali terakhir KKM merekodkan kes tiga angka pada 9 Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara telah mencatat sejumlah 342,885 kes positif Covid-19 sejak penularannya pada akhir Januari tahun lalu.

“Selangor mencatatkan 219 kes positif baharu hari ini, diikuti Sarawak (192) dan Johor (171), manakala Perlis kekal pada angka sifar.

“Ketika ini jumlah kes aktif adalah sebanyak 14,219 kes. Sebanyak 933 daripada 941 kes direkodkan hari ini membabitkan jangkitan tempatan dengan 653 warganegara, warga asing (280) dan lapan kes lagi membabitkan kes import iaitu dua rakyat negara ini dan enam bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 166 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 73 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM juga merekodkan lima kes kematian berkaitan Covid-19, iaitu empat warganegara dan seorang bukan warganegara menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan wabak itu sebanyak 1,260 kes atau 0.37 peratus daripada kes yang dilaporkan setakat ini.

“Sebanyak 1,097 kes pulih juga dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya di negara ini sebanyak 327,406 kes atau 95.5 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti yang melibatkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
Kluster-kluster itu adalah Kluster Seksyen 16, Kluster Jalan Azlan dan Kluster Taman Vistargo.

– MalaysiaGazette