Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada penerima OKU MOHD AZANNI AHMAD (tengah) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 di PICC, Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 30 MAC 2021.

PUTRAJAYA –  Kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta menjadi ejen penyebaran maklumat berkenaan vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penyebaran maklumat berkenaan kepentingan vaksin perlu dilakukan secara meluas kerana ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat.

Dalam masa yang sama, katanya, peningkatan kesedaran akan menjadi faktor kepada kejayaan Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Saya rayu kepada KPKT jadi ejen penyebaran maklumat tentang vaksin dalam negara. Kita kena beri penjelasan yang betul. Selepas vaksinasi kita lihat kes harian menurun.

“Kita harap ia (kes) akan semakin turun,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 dan Jasamu Dikenang Tahun 2020/2021 KPKT di sini hari ini.

Selain itu, Zuraida turut mengingatkan warga kementerian supaya tidak menjadi ejen penyebar fitnah.

Jelas beliau, ini kerana maklumat daripada kakitangan mudah dipercayai oleh pelbagai lapisan masyarakat. 

Sehubungan itu kakitangan khususnya warga KPKT perlu menyebarkan proses kerja dan polisi kerajaan yang tepat, katanya.

“Jangan jadi ejen menyebar maklumat palsu dan fitnah. Sebab orang percaya kakitangan awam beri maklumat,” ujarnya.

Zuraida turut berharap agar mana-mana pegawai KPKT yang  bersara untuk menjadi pemimpin dalam kalangan komuniti untuk meluaskan pengetahuan masyarakat tentang proses dasar dan polisi kerajaan.

“Yang telah bersara ini boleh  memimpin komuniti masing-masing itulah kita harap sebab mereka faham proses-proses kerajaan jadi dapat meluaskan pengetahuan rakyat di luar sana.

“Masih ramai yang jahil dan daif tentang proses dan maklumat kerajaan. Bila kita dapat menyampaikan maklumat barulah kita dapat bangga dengan kerja kita tak kisah dari jawatan mana sekalipun,” ujarnya.-MalaysiaGazette