Empat individu termasuk presiden dan pengarah urusan sebuah bank yang ditahan SPRM kerana dipercayai menerima rasuah.

PUTRAJAYA –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat 4 orang termasuk seorang bekas presiden merangkap pengarah urusan sebuah bank yang bergelar Datuk kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan berjumlah RM400 juta kepada sebuah syarikat.

Kesemua yang ditahan berusia di antara 49 hingga 53 tahun.

Mereka telah ditangkap di sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Menurut sumber, keempat-empat yang ditahan telah menerima rasuah yang dianggarkan sebanyak SGD3,168.366.00 iaitu lebih kurang RM8 juta sebagai komisen untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan sebanyak RM400 juta bagi projek yang dipercayai tidak wujud.

Ini adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan. Setelah pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperolehi, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

Bekas presiden merangkap pengarah urusan bank tersebut dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah diterima.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat di bawah seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Keempat-empat telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman selama tiga hari bermula 31 Mac 2021 hingga 2 April 2021 di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.