Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menasihati menteri-menteri UMNO supaya kekal dalam Kabinet demi kepentingan rakyat dan negara.

Ini kerana, Perdana Menteri berkata, beberapa orang menteri dari UMNO memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus kerajaan pada masa ini.

“Justeru saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Alhamdulillah atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal dalam Kabinet,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya.

Artikel berkaitan:Pemimpin UMNO bertemu PM Muhyiddin di Perdana Putra

Wanita UMNO akur keputusan PAU, MT

Menurut beliau, menteri-menteri UMNO telah menemuinya kelmarin, meminta nasihat mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.

Dalam perhimpunan tersebut, UMNO menegaskan akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Berikutan sepakatan yang dicapai itu, Muhyiddin memberi jaminan bahawa  Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan dilaksanakan seperti yang dirancang. – MalaysiaGazette

PRU15: No DAP, No Anwar, No Bersatu – Zahid