Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional Johor di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor di sebuah hotel di sini hari ini.

Muhyiddin tiba pada pukul 3 petang dengan disambut barisan kepimpinan parti serta beberapa penyokong.

Difahamkan mesyuarat Bersatu Johor dan PN Johor itu berlangsung serentak di sini.

Mesyuarat tersebut dipercayai bagi membincangkan hala tuju kerjasama dengan Umno Johor susulan kenyataan terbuka Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Pada Ahad, Hasni ketika berucap pada PAU dilaporkan berkata, UMNO Johor perlu diberi autonomi untuk menentukan strategi bagi menghadapi pilihan raya di negeri itu.

Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian hadir pada Mesyuarat Bersatu dan Perikatan Nasional Johor di Hotel Zenith, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2021.

Hasni dilaporkan berkata, biarpun UMNO Johor sebelum ini bercadang memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh, beliau berkata, sokongan terhadap Perdana Menteri itu jauh lebih rendah berbanding sokongan terhadap UMNO.

Antara yang turut hadir petang ini, Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim, Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Media semalam melaporkan Bersatu Johor dan PN Johor dilaporkan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hala tuju kerjasama bersama UMNO Johor pada Rabu.

Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian, dilaporkan berkata kedua-dua mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu. – Malaysia Gazette

1 Komen

Comments are closed.