Pasar Wuhan yang didakwa menjadi punca penularan Covid-19 pada akhir tahun 2019. foto Reuters

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa China merahsiakan data  daripada penyiasat-penyiasat yang datang ke negara itu untuk menjalankan penyelidikan punca pandemik koronavirus.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus mendakwa salah seorang penyiasat dalam pasukan itu memaklumkan China enggan memberikan data asal mengenai kes pertama Covid-19 kepada pasukan yang diketuai WHO.

Keadaan ini berpotensi menyukarkan usaha untuk memahami bagaimana pandemik global tersebut bermula.

“Dalam perbincangan saya dengan pasukan, mereka menyatakan kesulitan yang dihadapi dalam mengakses data data yang belum diproses.

“Saya mengharapkan kajian kolaboratif di masa depan merangkumi perkongsian data yang lebih tepat waktu dan komprehensif,” kata Tedros.

Dalam laporan akhir yang ditulis bersama dengan saintis China, sebuah pasukan pimpinan WHO yang menghabiskan empat minggu di sekitar Wuhan pada bulan Januari dan Februari mengatakan virus itu mungkin telah disebarkan dari kelelawar kepada manusia melalui binatang lain.

Dakwaan kononnya berlaku kebocoran makmal sebagai punca penularan wabak koronavirus itu adalah “sangat tidak mungkin”.

Ketidakmampuan misi WHO untuk menyimpulkan di mana atau bagaimana virus itu mula merebak pada manusia bererti ketegangan akan berterusan mengenai bagaimana wabak itu bermula – dan sama ada China telah membantu usaha untuk mengetahui atau, seperti yang didakwa Amerika Syarikat, dihalang olehnya.

Walaupun pasukan tersebut menyimpulkan kebocoran dari makmal Wuhan adalah hipotesis yang mungkin menyebabkan Covid-19, tetapi menurut Tedros perkara itu memerlukan siasatan lebih lanjut dengan lebih banyak misi ke China.

“Saya tidak percaya bahawa penilaian ini cukup meluas,” katanya kepada negara anggota dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh WHO.

“Data dan kajian lebih lanjut akan diperlukan untuk mencapai kesimpulan yang lebih mantap.”

Ketua Pasukan WHO, Peter Ben Embarek, memberitahu taklimat media “sangat mungkin” virus itu telah menular pada bulan November atau Oktober 2019 di sekitar Wuhan dan berpotensi menyebar ke luar negeri lebih awal daripada yang didokumentasikan setakat ini.

“Kami mendapat akses banyak data di banyak daerah yang berbeza, tetapi tentu saja ada daerah yang kami mengalami kesulitan untuk mendapatkan data yang belum di proses,” katanya.

Dia mendakwa pasukan itu dapat merasakan tekanan politik, termasuk dari luar China, tetapi dia tidak pernah didesak untuk menghapus apa-apa daripada laporan akhir.

Sementara itu, seorang pakar Australia yang menyertai misi itu, Dominic Dwyer berkata, dia berpuas hati bahawa tidak ada bukti ketara masalah di Institut Virologi Wuhan. – MalaysiaGazette