Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan orang ramai selepas memberi ucapan pada majlis Balai Rakyat (Town Hall) Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (belakang, kanan). -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING – Individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 mungkin dibenar untuk merentas negeri malah mereka juga mungkin boleh ke luar negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata keputusan mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, katanya kerajaan juga memulakan rundingan dan perbincangan dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat Malaysia yang telah divaksin untuk ke negara berkenaan.

“Saya akan bincang dalam mesyuarat MKN, kita akan membincangkan bahawa siapa yang sudah mendapat dua suntikan vaksin mereka akan boleh rentas negeri dan ke mana-mana dengan tidak dihalang oleh pihak berkuasa.

“Ini suatu (yang boleh) menggalakkan orang ramai (divaksinasi). Bukan sahaja dalam negara, kita sudah memulakan rundingan dengan beberapa negara untuk membolehkan warga kita yang sudah disuntik dua kali dan akan ada satu sijil supaya mereka boleh bergerak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab program Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini.

Perdana menteri tiba di Sarawak pagi tadi untuk lawatan kerja dua hari.

Setakat semalam, sebanyak 215,395 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.- BERNAMA