Mazlan Bujang

JOHOR BAHRU – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menyatakan beliau bakal lompat parti.

Beliau berkata, prinsipnya jelas dan dakwaan itu timbul setelah ada suara-suara menyatakan dirinya tidak banyak menghadiri program anjuran parti sendiri.

Terbaharu, beliau dikatakan tidak menghadiri mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Bagaimanapun, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu menegaskan, beliau enggan mengambil pusing tomahan yang dibuat dan menyifatkannya sebagai sekadar persepsi sesetengah pihak.

“Secara kebetulan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Johor dan mesyuarat parti pun buat tarikh yang sama. Jadi saya selaku Exco kerajaan yang menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, saya mengutamakan hal-hal berkaitan rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Jadi kita kurangkan pasal parti ini, kita lebihkan fokus kerja, pasal pengurusan rakyat. Mesyuarat Exco ini penting, kena hadir,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor dekat Johor Bahru hari ini.

Malah bekas Pengerusi Bersatu Johor itu turut menegaskan, dirinya masih menjadi ahli Bersatu.

Dalam pada itu, pelbagai dakwaan lain juga dilemparkan terhadapnya, termasuk menukar pendaftaran mengundi ke daerah lain.

“Cuba semak. Nama dan kad pengenalan saya masih lagi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Puteri Wangsa.

“Yang melompat, ada macam-macam ‘katak’ lompat tapi saya tak pernah lompat parti pun tapi parti saya pula yang melompat. Itu terbalik, kena bezakan.

“Ada orang cakap YB Mazlan buat parti (baru). Awak cuba faham pasal istilah parti. Saya tak pernah pun buat parti, saya masih duduk kat sini dan sampai sekarang saya masih ahli Bersatu.

“Saya macam inilah. Tapi politik boleh berubah-ubah.. esok macam tu pula. Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun asal daripada UMNO, akhirnya menubuhkan parti baru.

“Politik ni kadang-kadang kita tidak boleh jangka apa esok, lusa akan berlaku. Macam-macam perkara, dalam sistem demokrasi, ia tidak menghalang (lompat parti). Tak ada dalam akta boleh menghalang orang nak masuk parti mana,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast