Gambar Hiasan. Foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2021.

GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHAINPP) membenarkan semua masjid dan surau di negeri itu mengadakan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

Selain itu, pelbagai aktiviti mengimarahkan masjid turut dibenarkan termasuk berbuka puasa, moreh dan tazkirah Ramadan, selain menziarahi kubur.

Pengarahnya, Mohd Zakuan Zakaria berkata, semua pelaksanaan aktiviti pengimarahan itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, arahan pelaksanaan aktiviti masjid dan surau akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat mengikut situasi terkini wabak Covid-19.

“Buat masa kini, kita benarkan solat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat, namun bagi memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama pihak masjid dan surau digalakkan melaksanakannya sebanyak lapan rakaat.

“Bagi kadar bilangan jemaah pula, boleh mengikut keluasan ruang solat yang bersesuaian dengan mengambil kira penjarakkan fizikal satu meter.

“Selain itu, jemaah hendaklah warganegara dan pemaustatin tetap dalam lingkungan berusia tujuh hingga 70 tahun serta berada dalam keadaan sihat. Bagi mereka yang berusia lebih dari itu tidak digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Dalam perkembangan sama, Mohd Zakuan memberitahu, pelaksanaan solat sunat Aidilfitri turut dibenarkan. – MalaysiaGazette