KUALA LUMPUR- Malang berterusan menimpa skuad Terengganu FC (TFC) apabila penjaga gol utama iaitu Rahadiazli Rahalim telah mengalami kecederaan pada bahagian lutut semasa menjalani perlawanan latihan dalaman semalam.

Menurut kenyataan rasmi di laman web TFC, pemain berusia 19 tahun itu disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang menjadi mimpi ngeri bagi semua pemain bola sepak profesional.

Rahadiazli sebelum ini sempat menjalani latihan dengan skuad Harimau Malaya di Johor pada minggu lepas sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang.

“Rahadiazli yang melayangkan badan dalam satu percubaan melakukan satu tempisan keluar bola cubaan rakan sepasukan tidak berjaya melakukan pendaratan dengan baik dan hentakan pada lutut telah menyebabkan beliau kesakitan dan diusung keluar padang,” kata kenyataan rasmi TFC itu.

Berita buruk itu jelas merisaukan pengendali TFC, Nafuzi Zain kerana beliau dan pasukan telah melakukan persediaan bagi perlawanan menentang PJ City FC esok.

Penjaga gol tersebut mungkin terpaksa berehat panjang untuk menerima rawatan dan ianya bukan sesuatu yang positif untuk diterima oleh semua peminat bola sepak Terengganu.

Penjaga gol Terengganu FC II, Suhaimi Husin dijangka dinaikkan ke skuad utama untuk menggantikan Rahadiazli buat sementara waktu memandangkan pemain ini sudah mempunyai cukup minit bermain serta pengalaman beraksi di pentas Liga Super dan Liga Premier.

Rahadiazli merupakan pemain ketiga TFC yang mengalami kecederaan ACL selepas mereka turut kehilangan pemain import, Petrus Shitembi dan pemain pertahanan, Azalinullah Alias. – MalaysiaGazette