Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias.

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan UMNO dinasihatkan agar tidak menolak bulat-bulat pandangan mana-mana pemimpin parti sendiri, kata Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Beliau menegaskan pandangan Tan Sri Annuar Musa berhubung isu kerjasama yang ‘sedang dibina’ antara UMNO-PKR-DAP adalah sesuatu yang betul.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) jelas telah ditolak oleh rakyat malah pendirian yang ingin diambil oleh parti UMNO itu jelas menyalahi pendirian parti.

“Kita berpegang kepada keputusan parti iaitu tidak ada gabungan atau kerjasama DAP dan PKR. Ini kita buat sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“UMNO juga perlu menyelesaikan sebelum PRU-15 tentang persefahaman antara gabungan parti, antara UMNO dengan Pas, atau pun dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana kalau kita buat selepas PRU, kemenangan kerusi itu tidak akan tercapai kalau gabungan diputuskan sebelum pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalaluddin merujuk kepada kenyataan Annuar yang sedih dan pilu apabila Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperbaharui iltizam untuk terus bekerjasama namun partinya sendiri.

Annuar juga berkata, Pas dan Bersatu konsisten berjuang bersama dan meletakkan agenda penyatuan di hadapan tetapi UMNO mengisytiharkan perpecahan.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, sebarang kerjasama yang ingin dibina dengan DAP mahupun PKR sudah terbukti ditolak oleh rakyat ketika 22 bulan PH menjadi kerajaan.

“DAP adalah parti dominan termasuk PKR berbanding Bersatu, jadi maknanya ini semua kita perlu ambil kira,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020), Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas mengakui parti itu bersedia untuk menubuhkan jajaran politik baharu selepas PRU-15.

Malah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut membayangkan parti yang dipimpinnya kini terbuka untuk melakukan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk menbentuk kerajaan selepas PRU15.

Bagaimanapun, nada berlainan pula dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata tindakan disiplin boleh dikenakan sekiranya terdapat ahli dan pemimpin UMNO yang didapati menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Jelas Ismail, ia telah diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti untuk tidak mengadakan kerjasama dengan parti-parti itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bersatu, Pas perbaharui iltizam, UMNO pula isytihar perpecahan – Annuar