Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas tidak berdepan sebarang isu ketika ini dan hubungan antara dua parti itu kekal baik, sama ada di peringkat tertinggi atau akar umbi.

Malah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, pelbagai program telah dirancang untuk dianjurkan bersama antara dua parti itu sepanjang bulan Ramadan akan datang.

“Kerjasama berjalan seperti biasa di peringkat cawangan, bahagian. Saya percaya bulan Ramadan ini akan ada banyak program bersama, program keagamaan.

“Program telah ditetapkan dan saya percaya ia akan diteruskan. Sebenarnya, hubungan akar umbi dan peringkat tertinggi pun masih seperti dulu dan tiada isu,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz (kiri) dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di Hotel Intercontinetal, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2021.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan ditanya keputusan Pas semalam yang mengeluarkan kenyataan bersama untuk meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mengulas status Muafakat Nasional (MN), Ismail Sabri berkata, UMNO dan Pas sentiasa mengadakan mesyuarat setiap dua minggu sekali.

“Biasanya setiap dua minggu sekali kita akan adakan mesyuarat bersama, iaitu UMNO dan Pas. Mungkin selepas ini kita akan bincang dan bawa perkara berkaitan hubungan ini.

“Tetapi setakat ini, usul keempat atau kelima dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini adalah perkukuhkan kerjasama dengan Pas dalam MN,” ujarnya.

Semalam, Pas dan Bersatu  mengumumkan untuk meneruskan kerjasama bagi berdepan PRU15 apabila kedua-dua parti politik itu menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15 terutamanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Bersatu dan Pas juga akan menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat Pusat bagi merangka strategi dan hala tuju parti menghadapi PRU15 termasuk rundingan pengagihan kerusi. – MalaysiaGazette

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Kementerian Pertahanan Tahun 2021 di Hotel Intercontinetal, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 APRIL 2021.