Datuk Bandar MBPG Asman Shah Abdul Rahman (dua dari kiri) di Program Bersama Komuniti Kampung Perigi Acheh,Pasir Gudang, Johor.

PASIR GUDANG- Sebanyak 72 kilang di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dikesan beroperasi tanpa lesen, susulan insiden pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim sejak dua tahun lalu.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman berkata, MBPG telah melakukan pemantauan ketat termasuk melaksanakan rondaan, selain pengambilan sampel air secara bulanan.

“Kita telah melakukannya sejak awal tahun ini bagi memastikan ianya tidak seburuk dahulu,” katanya.

Menerusi pemantauan itu, 20 kilang menerima notis penutupan, 15 kilang lagi dikenakan tindakan undang-undang, manakala bakinya sedang dalam proses mendapatkan lesen operasi.

“MBPG dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) ada membuat pemantauan kepada penambahan 20 premis lagi iaitu bengkel tertentu dalam memastikan tiada pencemaran berlaku.

“Pada masa sama, komuniti diharapkan turut memberi input seperti mengambil gambar atau video sekiranya terdapat pembuangan sisa untuk dimajukan kepada kami supaya tindakan mudah diambil.

“Tidak dinafikan komuniti turut mempunyai tanggungjawab sosial menjaga alam sekitar iaitu dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui selepas program Datuk Bandar MBPG Bersama Komuniti Kampung Perigi Acheh,Pasir Gudang,Johor.

Dalam pada itu, RM14 juta bakal diperuntukkan bagi projek pembinaan jalan dan jambatan di Kampung Perigi Acheh, yang dijadualkan siap awal tahun depan.

“Ia adalah Manifesto 100 Hari MBPG dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada 35 kampung induk dan kampung rangkaian yang ada di pinggiran kawasan bandar raya Pasir Gudang.

“Inisiatif itu turut meliputi pemasangan lima lampu solar, kemudahan taman permainan, selain melihat kepada keperluan asas penduduk kampung seperti balai raya, padang futsal mahupun balai komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette