Khairy Jamaluddin semasa melakukan lawatan kerja ke Program Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi (CREST), di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan akan mendapatkan data klinikal terkini daripada pihak pengeluar vaksin AstraZeneca untuk dianalisis oleh Kumpulan Kerja Teknikal Pemilihan Vaksin (KKTPV) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Langkah itu susulan laporan berita mengenai kesan sampingan vaksin itu, di United Kingdom (UK), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, kerajaan tidak akan membuat keputusan sama ada akan meneruskan dengan pemilihan vaksin itu atau sebaliknya hanya berdasarkan laporan berita.

Tetapi, akan membuat penelitian data secara klinikal.

“Kita ada dua lapisan nasihat yang diterima oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang dipengerusikan oleh saya dan Menteri Kesihatan iaitu Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin dan NPRA,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains, dan Teknologi (CREST), di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Jelasnya, pendirian kerajaan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca bagi mengawal penularan Covid-19 masih tidak berubah.

“Bila terima maklumat dalam berita kita akan minta data klinikal daripada pembekal AstraZeneca dan Jawatankuasa Teknikal Pemilihan Vaksin serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum membuat sebarang keputusan.

“Selain itu, tindakan kerajaan membekalkan vaksin AstraZeneca kepada rakyat bukan dilakukan mengikut data klinikal,” ujar beliau.

Semalam, agensi kawal selia perubatan UK melaporkan sebanyak 22 kes membabitkan kejadian darah beku pada otak pada penerima vaksin AstraZeneca. – MalaysiaGazette