MIT

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen daripada Southern PC Steel Sdn. Bhd., sebuah pengeluar tempatan pada 1 Mac lalu bagi memulakan penyiasatan antilambakan ke atas pengimportan dawai keluli berlembar bagi konkrit prategasan (dagangan subjek).

Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik China dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Pempetisyen mendakwa bahawa lambakan import dari PRC telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepadanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas import dagangan subjek dari China.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh pemulaan siasatan.

”Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan kepada industri tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan antaranya:
• pengeluar domestik di Malaysia dan persatuan pengeluar yang berkaitan;
• pengeluar atau pengeksport dagangan subjek di negara PRC yang dinamakan di dalam petisyen; dan
• pengimport dagangan subjek yang dinamakan di dalam petisyen dan persatuan pengimport yang berkaitan.

Pihak berkepentingan yang lain boleh juga mendapatkan borang soal selidik tersebut tidak lewat daripada 15 April 2021 dengan menulis kepada MITI.

Malah, pihak berkepentingan boleh memberi pandangan, menjawab soal selidik dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI sebelum 30 April 2021.

Sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada.

Maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Aras 9, Menara MITI
No. 7 , Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur – MalaysiaGazette