Anggota Polis Daerah Tawau membuat sekatan jalan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di laluan jalan Tawau ke Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di Tawau, Sabah bermula esok hingga 16 April ini berikutan peningkatan  kes positif Covid-19 yang mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan beberapa kluster baharu di daerah berkenaan.

Selain itu, katanya, kadar kebolehjangkitan yang direkodkan juga tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau, Sabah bermula 3 April sehingga 16 April 2021.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di lokaliti kes positif serta mengawal pergerakan penduduk di daerah ini dan mengekang penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan perkembangan PKP hari ini.

Ujarnya, sehingga kini sebanyak 137 kes aktif Covid-19 yang dilaporkan di lokaliti tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilakukan di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah dan Kampung Baji, Sarikei, Sarawak bermula esok hingga 16 April.

Tambah beliau, Sungai Rassau, Batang Igan, Daerah Matu, Bahagian Mukah, Sarawak juga akan dilaksanakan PKPD untuk tempoh yang sama berikutan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi dalam jangka masa seminggu.-MalaysiaGazette