Masidi Manjun

KOTA KINABALU – Individu yang pernah mengunjungi premis Courts Malaysia di Kubota Sentral, Tawau pada 22 Mac lepas sehingga hari ini, dikehendaki hadir ke klinik kesihatan awam untuk menjalani saringan COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini berikutan Kluster Kubota Sentral setakat ini telah merekodkan sembilan kes positif termasuk dua pada hari ini.

“Kes indeks merupakan lelaki berumur 25 tahun dan merupakan jurujual di premis kelengkapan rumah itu. Kes indeks disahkan positif setelah menjalani saringan bergejala di salah sebuah klinik pada 29 Mac.

Saringan di tempat kerja merekodkan enam kes positif, sementara dua kes lagi dikesan melalui saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada rakan sekerja. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, peningkatan penularan kes COVID-19 di Sabah berpunca daripada majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, majlis kenduri-kendara dan majlis sosial.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri akan membangunkan satu aplikasi dalam masa terdekat sebagai saluran untuk masyarakat mendaftarkan sebarang majlis sebagai pemakluman kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 73 kes pesakit COVID-19 dicatatkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,989 kes. – Bernama