Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki kerugian RM1.2 juta kerana terpadaya melakukan pelaburan dalam sebuah syarikat pelancongan dan hartanah yang tidak wujud oleh rakan kongsinya sendiri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada pukul 3.52 petang semalam, setelah menyedari ditipu rakan kongsinya itu.

Laporan berkenaan menyatakan mangsa dijanjikan dengan pulangan dividen dan juga pemilikan 23.3 peratus saham berserta modal perniagaan.

Berikutan itu, Ayob Khan menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi, terutama yang melibatkan urusan bersemuka.

Katanya, orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu akaun bank diberikan menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun berkenaan tidak pernah terbabit dalam sebarang kes penipuan. – MalaysiaGazette