Hamzah Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju melantik 12 orang wakil Bersatu diketuai sendiri oleh Muhyiddin, selaku presiden dalam Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu- Pas di peringkat pusat bagi merangka strategi kedua-dua parti untuk menghadapi PRU-15 akan datang.

Ketetapan itu hasil Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang diadakan semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu juga komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti anggota Perikatan Nasional iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan.

Dalam masa sama, Bersatu juga bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang.

MPT Bersatu turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketuaketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutunya di seluruh negara.

Tambah beliau, MPT Bersatu juga menegaskan bahawa parti tersebut mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan.

Sehubungan itu, Bersatu menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang ndang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Bersatu turut beriltizam untuk terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar. – MalaysiaGazette