Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan pada sidang media Persidangan Perubatan Tentera Malaysia 2021 (MMMC) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 APRIL 2021

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bercadang menambah 300 doktor menerusi pengambilan baharu.

Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM. Leftenan Jeneral Datuk Dr. Md Amin Muslan berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut.

“Kalau ikutkan data semasa, kita mempunyai 300 orang pegawai perubatan atau doktor tentera yang berkhidmat dalam ATM. Tetapi kita mahu menambah lebih ramai dalam penjawatan itu iaitu lebih 300 orang doktor tentera pada masa akan datang.

“Kita faham hal penjawatan masih ada cabaran, pembangunan pasukan simpanan, paramedik dan doktor dan itulah arah tuju kita nanti,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan Perubatan Ketenteraan 2021 di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak di sini, haari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Menurut Md. Amin, penambahan jawatan baharu itu berdasarkan keperluan untuk membantu rakan perubatan kesihatan awam dalam Kementerian Kesihatan.

Ujarnya, penambahan jawatan baharu dapat mewujudkan gabungan  pasukan anjal gabungan antara angkatan tetap dan simpanan.

Ditanya mengenai doktor perubatan tentera yang berhenti selepas 10 tahun berkhidmat, katanya, ATM tidak risau dengan situasi itu kerana mereka masih dalam pasukan simpanan.

“Hasil pemerhatian kita (ATM) mendapati ramai doktor tentera yang berhenti kembali berkhidmat semula dengan kami maksudnya bila ada keperluan mereka dikerah semula” katanya.MalaysiaGazette