Pengusaha sukan air di Batu Feringgi di Pulau Pinang terpaksa menanggung kerugian besar susulan tiada pelancong akibat Pandemik Covid-19.

GEORGE TOWN – Penularan pandemik Covid-19 masih memberi kesan buat pengusaha sukan air di Pantai Batu Ferringhi walaupun Pulau Pinang kini diklasifikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tinjauan MalaysiaGazette selama lebih empat jam sehingga 5 petang hari ini mendapati kawasan pantai bermula dari Pantai Miami hingga belakang pantai Hotel Hard Rock yang dahulu menjadi tumpuan pelancong kini lengang.

Ini sekali gus menunjukkan kawasan pantai Batu Ferringhi menjadi gambaran kepada situasi dihadapi industri pelancongan negeri itu yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19.

Seorang operator sukan air, Fadzil Abd Rahim,39, berkata, survival pengusaha sukan air di negeri itu kian terasa susulan tiada kedatangan pelancong sejak setahun lalu.

Seorang pengusaha sukan air menunjukkan papan tanda zon aktiviti itu yang ditetapkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Beliau yang sudah terlibat dalam  aktiviti sukan air sejak 15 tahun itu berkata, lebih 70 peratus kerugian ditanggung pihak majikan tanpa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk persatuan sukan air.

“Lebih dari setahun kami tak ada pelanggan yang terdiri daripada pelancong luar negara akibat Covid-19 tetapi pelancong tempatan pun susah nak cari sekarang ini.

“Nak harap orang tempatan Pulau Pinang sahaja mana boleh tanggung segala kos peralatan serta gaji pekerja. Mereka (penduduk Pulau Pinang) datang sekadar melepak tepi pantai kalau nak naik jet ski atau aktiviti sukan air ni pun tak ramai,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Fadzil, tindakan kerajaan negeri yang kurang mempromosi sektor pelancongan turut memberi kesan kepada mereka.

“Sukan air ini di bawah sektor pelancongan, apabila kurang promosi pelancongan walaupun untuk orang tempatan menyebabkan pendapatan kami terjejas.

“Sebagai pekerja sukan air saya mohon kerajaan mempercepatkan kebenaran rentas negeri sekurang-kuranganya kemasukan pelancong tempatan dari negeri lain sedikit sebanyak dapat menampung kos kami,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha yang ingin dikenali sebagai Yuvan pula berkata, sumber pendapatan mereka bergantung kepada kehadiran pelancong semata-mata menyebabkan beberapa pekerja terpaksa mencari kerja sampingan untuk kelangsungan hidup.

Jelas lelaki berusia 42 tahun itu perniagaannya ketika ini hanya bergantung sepenuhnya kepada pengunjung yang menginap di hotel berhampiran.

“Situasi sekarang benar-benar memberi tekanan buat kami yang hilang sumber pendapatan utama. Ada dalam kalangan kami yang terpaksa menjadi nelayan bagi memastikan ahli keluarga tidak kebuluran.

Kawasan pantai di Batu Ferringhi lenggang tanpa pengunjung.

“Selain itu, peraturan kerajaan negeri menetapkan waktu perniagaan bermula jam 7 pagi hingga 7 malam untuk aktiviti sukan air turut memberi kesan kerana pelanggan lebih gemar datang pada waktu senja.

“Sekiranya masalah ini berterusan kemungkinan besar ramai pengusaha sukan air di negeri ini akan gulung tikar kerana kos penyelenggaraan bot, jet ski serta gaji pekerja menelan kos yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette