Tujuh individu terlibat dalam kartel projek di bawa ke mahkamah untuk direman

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan satu sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh orang termasuk ketuanya berusia 47 tahun lewat tengah malam semalam.

Menurut sumber, sindiket kartel projek itu telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.8 billion.

Sindiket berkenaan telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

Ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebutharga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Beliau dikatakan mewujudkan 150 syarikat yang berbeza dengan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan.

Selain itu, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama “orang dalam” untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender / sebutharga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Datuk Seri Azam Baki. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019.
Azam Baki

Modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender / sebutharga.

Taktik “mengepung harga” iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket.

Syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.

Hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket ini telah menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya.

Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi.

Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.

Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender / sebutharga berkenaan.

Satu intipan dan pemantauan telah dijalankan di pusat operasi sindiket ini malam tadi di mana hampir keseluruhan ahli-ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang-borang tender.

Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan telah dibuat malam tadi.

Sementara itu, Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika dihubungi mengesahkan tangkapan. Kes disiasat dibawah seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. fuh ini betul2 giler..dh makan puluh tahun la ni..kronisma nepotisme…its real..syabas SPRM

Comments are closed.