Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Kes dijangka bermula sekitar jam 9.40 pagi berikutan kelewatan oleh peguam yang mengetahui pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang terpaksa berpatah balik untuk mendapatkan dokumen kes.

Peguam, Tan Sri Shafie Abdullah hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan perbicaraan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2021.

Rayuan bekas Perdana Menteri itu yang sepatutnya didengar pada 15 Februari lalu diganti dengan tarikh baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan baru-baru ini.

Pihak media tempatan juga antarabangsa juga awal pagi sudah memenuhi perkarangan Istana Kehakiman di sini namun hanya yang telah berdaftar menggunakan kad penerangan media pada minggu lepas sahaja dibenarkan masuk dengan hanya tiga orang mewakili setiap satu agensi.

Para media yang diberikan kebenaran untuk membuat liputan kes itu ditempatkan di bilik persidangan Istana Kehakiman dan prosiding dari Mahkamah Rayuan 3 akan dipancarkan menggunakan kaedah video terus ke bilik tersebut.

Manakala panel hakim, pihak pendakwaan dan pembelaan, Najib serta beberapa kakitangan mahkamah dibenarkan berada di dewan mahkamah.

Keadaan juga agak terkawal dan tidak berlaku kesesakan memandangan jumlah kehadiran telah ditentukan minggu lepas lagi berikutan pematuhan garis panduan pandemik Covid-19.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berpakaian kot berwarna coklat kelihatan tenang tiba sekitar jam 8.55 pagi dan senyum kepada wakil media.

Sebelum itu, mahkamah telah menetapkan 12 hari iaitu pada 5 hingga 8 April, 12 hingga 15 April dan 19 hingga 22 April manakala rekod rayuan pindaan akan diterima oleh kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan pada 8 Februari lalu.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis pada 1 Mac ini dan membalasnya pada 19 Mac manakala tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 Februari.

Pada 30 Julai tahun lalu, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 19 Oktober tahun lalu, Najib mengemukakan 307 alasan bagi menyokong rayuan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mendapatinya bersalah dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Antara alasan yang dikemukakan, hakim bicara terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah dalang sebenar dalam kes yang dihadapinya.

Beliau kemudian dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Ketika ini Najib bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. -MalaysiaGazette