KOTA TINGGI – Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabas semasa mengelak seekor babi hutan yang melintas di Kilometer 34 Jalan Lok Heng-Mawai, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian pada jam 7.10 pagi itu, mangsa Suhaimi Bahudin, 60, yang memandu kereta Perodua Alza mengelak melanggar babi hutan itu dan masuk dalam gaung sedalam 10 meter di tepi jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kemalangan itu menyebabkan warga emas tersebut tercampak keluar dan kereta dipandunya terbalik di kawasan kebun kelapa sawit.
“Pemandu tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Kes tersebut, katanya, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari hospital berdekatan.
“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 8.40 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette