Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan sebanyak 10 kluster baharu dikena lpasti akibat jangkitan Covid-19.

Lima daripadanya adalah kluster tempat kerja manakala tiga adalah kluster komuniti dan masing-masing satu mewakili kluster pusat tahanan dan kluster keagamaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua 10 kluster berkenaan adalah Kluster Integrasi Rawang Tiga, Jalan Badli Shah di Selangor,Jalan maju Sarawak;Kluster Jalan Kota Kubang Labu dan Kampung Palekbang Kelantan;Kluster Jalan Mega Industri dan Padang Hijau Johor, Kluster Taman Peruda Kedah; Kluster Kampung Belaoh dan Kluster Belacon Sabah.

Katanya, Kluster Integrasi Perindustrian Rawang dikesan positif sejak 5 April lalu menerusi saringan bersasar para pekerja syarikat pembinaan.

Seramai 13 kes disahkan positif daripada 18 yang disaring setakat hari ini, katanya.

“Kluster Jalan Badli Shah melibatkan daerah Petaling, Klang dan hulu Langat apabila kes dilaporkan positif pada 27 Mac lalu individu bergejala.

“Kluster ini dikesan di pusat pentadbiran awam yang terletak di Jalan Tengku Badli Shah Seksyen 9, Shah Alam dan 21 daripada 244 individu yang disaring disahkan positif.

“Kluster Jalan Maju dikesan di Sibu, Sarawak pada 27 Mac lalu menerusi saringan individu bergejala manakala 34 disahkan positif setakat ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, Kluster Jalan Mega Industri di Johor pula melaporkan kes positif dalam kalangan pekerja kilang Taman Perindustrian Nusa Cemerlang Gelang Patah hasil saringan bersasar.

Menurutnya, seramai 41 orang disaring manakala sebanyak 21 kes disahkan positif dalam kluster tersebut.

Ujar beliau, Kluster Padang Hijau merupakan kes positif yang dikesan terhadap tahanan di Pusat Transit Penerimaan di Kluang pada hari ini dan 17 individu disaring sementara 12 daripadanya diuji positif.

“Kluster Belacon membabitkan upacara keagamaan di Lahad Datu dan Tawau Sabah apabila individu yang menyertainya dikesan positif pada 5 April semalam menerusi saringan bergejala.

“Setakat ini sejumlah 196 orang disaring dan 16 dikesan positif.

“Kluster Taman Peruda menyaksikan majlis Sosial di Kuala Muda  28 Mac lalu yang mana lelaki warga emas berusia 68 tahun telah disahkan positif 2 April lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, setakat ini sebanyak 1,421 kluster dikesan setakat ini manakala 354 kluster masih aktif sementara sebanyak 1,067 kluster ditamatkan termasuk 11 hari ini.

Kesemua 11 kluster yang ditamatkan adalah Kluster Amanjaya, Kluster Jalan Industri A1, Kluster Jalan Sungai, Kluster Jalan Dato Sellathevan, Kluster Persiaran Bayam Indah, Kluster Jalan Timah Tiga, Kluster Jalan Jenjarom, Kluster Perusahaan Baru, Kluster Jalan Sementa, Kluster Jalan Subang,dan Kluster Simpang Tiga.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 62 kluster melaporkan pertambahan kes baharu hari ini, katanya.

Manakala Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tembok Sri Aman (128 kes), Kluster Jalan Pelabuhan (50 kes), dan Kluster Jalan Mega Industri (20 kes). – MalaysiaGazette