Foto ihsan Sheikh Omar
KLUANG – Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 2 melaksanakan kuarantin kendiri berikutan terdapat 15 kes positif melibatkan yang kluster Jalan Murni 1, Paloh, di Kluang,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Omar Ali berkata, ujian calitan pertama sudah dilaksanakan dan esok ujian calitan kedua bakal dilaksanakan terhadap warga sekolah berkenaan.
“Saya dimakkumkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang telah melaksanakan ujian calitan kepada lebih kurang 250 orang pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah.
“Saya sendiri telah pergi ke Sekolah Kebangsaan Paloh 2 disebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan ada 15 kes positif covid melibatkan kluster Jalan Murni 1, Paloh.
“Doktor Pakar Hanihaselah Mohd Saleh daripada PKD Kluang mengetuai petugas KKM di sini, dibantu pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, hasil keputusan ujian calitan pertama dijangka keluar pada tengahari esok dan pihaknya kini membantu menguruskan bantuan makanan dan kanopi kepada petugas KKM serta warga sekolah berkenaan.
“Kerisauan kita sekarang ini adalah belum pernah berlaku kluster Covid-19 di Paloh dan berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah berjalan sekian lama membuatkan kadang-kadang orang kita terlupa.
“Saya berharap orang ramai menitikberatkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kerana memang ada yang sudah merentas negeri dan daerah, dan saya harap perkara ini tak melekakan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Sheikh Omar mengesahkan surat mengenai perkara berkenaan telah diedarkan kepada seluruh warga sekolah yang memaklumkan mengenai penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka.
Katanya, penangguhan tersebut dibuat mulai Ahad lalu atas nasihat Pusat Kesihatan Daerah dan tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Johor kerana semua guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sedang menjalani kuarantin kendiri akibat kes Positif Covid-19.
“Sehubungan itu semua guru akan mengikuti konsep Bekerja dari Rumah (BDR) dengan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPr) mengikut kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah ini,” katanya.
Sheikh Omar berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya memantau jadual pembelajaran anak-anak.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, isu Covid-19 di sekolah berkenaan masih dalam siasatan pihaknya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Dr Aman Rabu yang dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan perkara itu menjelaskan, perkara itu masih dalam siasatan dan penilaian risiko oleh kesihatan. – MalaysiaGazette