Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo (kiri).

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama barisan pembantu jurulatih, pasukan perubatan dan staff tambahan yang akan terlibat dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada Jun ini.

Kerajaan Vietnam ketika ini memberi keutamaan suntikan vaksin kepada atlet negara itu yang akan ke luar negara untuk menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut laporan Bongdaplus, skuad Vietnam akan berkumpul menjalani latihan pada pertengahan Mei depan dan seramai 34 orang pemain akan dipanggil menyertai kem latihan tersebut.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) telah menyenaraikan 47 pemain yang akan mendapat suntikan vaksin Covid-19 mulai bulan ini yang mana terdapat lima frasa dalam pelan suntikan vaksin mereka.

Selain frasa pertama yang bermula hari ini, frasa kedua melibatkan 17 pemain daripada kelab Hanoi FC, Saigon, Binh Dinh dan Ha Tinh pada 8 April.

Frasa ketiga pula akan bermula pada 9 April melibatkan tujuh pemain kelab Hoang Anh Gia Lai dan frasa keempat pada 13 April melibatkan 16 pemain dari kelab Hai Phong, SHB Da Nang, B. Binh Duong, SLNA, Thanh Hoa, Ho Chi Minh City, Than Quang Ninh, Long An.

Frasa kelima dan terakhir pada 17 April melibatkan lima pemain daripada Viettel FC yang akan beraksi dalam saingan AFC Champions League 2021.

Namun begitu, penjaga gol utama Vietnam, Dang Van Lam bakal menjadi pemain yang pertama menerima suntikan vaksin Covid kerana beliau akan berhijrah ke Jepun menyertai kelab J-League, Cerezo Osaka.

Vietnam dijangka berangkat lebih awal ke UAE untuk membiasakan diri dengan keadaan cuaca panas sebelum menghadapi perlawanan menentang tuan rumah, Malaysia dan Thailand. – MalaysiaGazette