Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) berbual bersama Ketua Editor Malaysia Gazette, Khairuddin Mohd Amin (dua kiri) berbual bersama tetamu pada sesi libat urus bersama ketua editor media di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membatalkan rancangan untuk mengambil alih empat lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda Berhad (Gamuda).

Ia melibatkan nilai sebanyak RM6.2 bilion yang ditawarkan pada tahun 2019.

Keempat-empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), KESAS Sdn Bhd dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung kerajaan dalam melaksanakan pengambilalihan itu.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan sedang meneliti cadangan terbaharu Gamuda dan syarikat pengendali lebuh raya dalam bandar yang lain bagi menggantikan penyelesaian jangka panjang membabitkan isu tol.

Berdasarkan cadangan itu, jelas Fadillah, kadar tol di lebuh raya tidak akan dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi namun tempoh konsesi mungkin dilanjutkan.

“Kabinet sudah putuskan bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih empat lebuh raya Gamuda disebabkan bebanan yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

“Namun, Gamuda membuat cadangan baharu seperti yang dilakukan di Lebuhraya PLUS, iaitu kadar tol ditetapkan, tetapi (tempoh konsesi diberikan lanjutan).

“Perkara ini sedang dinilai oleh Kementerian Kerja Raya, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan dan apabila ada keputusan, kita akan umumkan,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Ketua Editor Media di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang.

Ianya adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Perkara itu dimaklumkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng apabila memberitahu tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Berhad selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Pengambilalihan dilaksanakan oleh syarikat tujuan khas (SPV) yang merupakan anak syarikat kepada Menteri Kewangan Diperbadankan. – MalaysiaGazette