Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha memerangi ‘kartel tender’ di dalam kementerian itu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, pihaknya menyedari kewujudan kartel tersebut dan langkah melumpuhkannya telah dibuat dengan agensi penguat kuasa.

“Memang kita ada terima aduan bahawa dalam proses tender ini ada wujudnya kartel. Cuma dalam proses tender kita tender terbuka dan kita kena terima semua tender.

“Disebabkan tender ini terbuka kita tidak tahu siapa yang ada dalam kartel ini,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Ketua Editor Media di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.

Menurut Fadillah, sukar bagi pihaknya mengenal pasti mereka yang terlibat dengan kartel tender dan aduan yang diterima daripada orang ramai sememangnya membantu.

Meskipun, memahami sukar untuk menyiasat kes seperti itu namun kejayaan dicapai oleh agensi penguat kuasa menghadapkan mereka ke mahkamah wajar diberi pujian.

Fadillah berkata, pihaknya menyerahkan seratus peratus perkara itu kepada SPRM untuk tindakan dan tidak sesekali akan memberi peluang kepada penjawat awam terlibat.

“Kita serahkan seratus peratus kepada SPRM untuk menyiasat sepenuhnya. Kalau ada dalam kalangan penjawat awam yang terima biarlah diambil tindakan.

“Kita tidak akan melindungi pihak-pihak yang terlibat dalam perkara-perkara yang bukan sahaja menyalahi SOP tapi juga dalam proses tender ini,” tegasnya.

Terdahulu SPRM hari ini telah menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang dipercayai terlibat dalam sindiket kartel projek yang ditumpaskan semalam.

Lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai juru ukur bahan gred 48 dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyediaan Bill of Quatity (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan agensi terbabit.

Beliau dipercayai telah menerima rasuah bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek-projek kepada ketua sindiket untuk memudahkan penyediaan dokumen-dokumen tender. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sindiket kartel tender projek kerajaan: Pegawai kanan kerajaan ditahan