Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki (kanan) bersama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud (dua kiri) melihat kereta mewah yang dirampas berhubung Op Hack di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 21,378 pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dipercayai telah dikeluarkan sindiket yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya akan menjalankan operasi besar-besaran bagi menahan pendatang asing yang masih menggunakan PLKS yang dikeluarkan sindiket berkenaan.

“Setakat ini berdasar maklumat yang kita perolehi sebanyak 21,378 pekerja asing mempunyai PLKS palsu dan tangkapan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kita akan cari semua lebih 21,000 pemegang PLKS ini berdasarkan operasi dibuat oleh semua Jabatan Imigresen seluruh negara. Operasi sedang giat dijalankan mencari dan menahan mereka ini, dan operasi sebegini sudah mula dijalankan sejak tahun lepas lagi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di pejabat SPRM Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan merupakan kumpulan terbanyak yang mendapatkan khidmat sindiket ini bagi mendapatkan pas lawatan berkenaan.

Selain warga asing, terdapat majikan yang terlibat dalam mendapatkan pas lawatan tidak sah melibatkan sektor perkhidmatan, perkilangan dan perladangan.

Sindiket pengeluaran PLKS tumpas dengan penahanan lima individu termasuk seorang berpangkat Datuk.

Sementara itu, di Mahkamah Shah Alam kelima-lima suspek sindiket berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran pas lawatan berkenaan. – MalaysiaGazette