logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Bukit Aman berjaya mengesan kegiatan penipuan menerusi platform e-dagang membabitkan penjualan nombor telefon khas kononnya dikeluarkan syarikat telekomunikasi terkemuka di negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamaruddin Md Din berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang individu mengenai sindiket penipuan tersebut.

Kata beliau, mangsa mengadu telah membeli nombor telefon 010-9899999 selepas melihat pada iklan yang dipaparkan di Facebook.

“Mangsa kemudian telah menghubungi penjual dan membuat bayaran namun tidak menerima nombor yang dibeli itu manakala penjual didakwa telah melesapkan diri.

“Dalam usaha mencegah daripada penipuan seperti ini berleluasa, polis menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika terlibat dalam sebarang urusan transaksi dalam talian serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan barang murah.

“Kita telah membuka kertas siasatan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Kamaruddin, polis merekodkan sebanyak 3,514 penipuan e-dagang pada tahun 2019 dan 5, 847 kes pada tahun lepas.

Justeru katanya, pada awal Januari hingga kini pula sebanyak 2,132 kes sama dicatatkan.

Polis ingin menasihatkan orang awam untuk sentiasa menyemak ketulenan transaksi dan membuat pengesahan akaun menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule, selain memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian serta kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.- MalaysiaGazette