Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Airbus dan Malaysia Airlines menandatangani lanjutan kontrak Perkhidmatan Jam Penerbangan-Komponen (FHS-C) bagi kumpulan pesawat A330 dan A350 sebagai hasil daripada langkah penstrukturan semula Malaysia Airlines yang baru selesai.

Perjanjian itu ditandatangani di sini oleh Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Presiden Airbus Asia-Pasifik, Anand Stanley.

Lanjutan kontrak untuk beberapa tahun itu meliputi sokongan teknikal oleh Airbus untuk kumpulan pesawat A350 dan A330 sedia ada Malaysia Airlines serta A330-200F yang dikendalikan oleh MASKargo, menurut Airbus dalam kenyataan pada Khamis.

FHS-C menyediakan perkhidmatan komponen termasuk akses kumpulan alat ganti, bekalan di tapak bagi pangkalan utama serta pembaikan dan kejuruteraan komponen.

Menerusi FHS-C, Airbus memberi jaminan ketersediaan komponen dan prestasi teknikal pesawat, disokong oleh kejuruteraan komponen dan piawaian berkualiti tinggi.

Ahmad Luqman berkata, Malaysia Airlines gembira untuk meneruskan kerjasama dengan Airbus dan yakin jenama itu akan menyediakan sokongan teknikal penting kepada pesawat berkenaan.

“Seiring melangkah maju sebagai sebuah syarikat penerbangan dan berkongsi hospitaliti Malaysia di seluruh dunia, pesawat Airbus yang kami terbangkan akan menjadi simbol kebolehpercayaan dan ketekalan,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu Anand berkata, pihaknya juga berbesar hati untuk meneruskan hubungan erat dengan Malaysia Airlines menerusi lanjutan perjanjian FHS.

“Ini direalisasikan terutama dalam tempoh semasa yang mencabar dengan Airbus berusaha untuk memberikan nilai tambah dan penyelesaian khusus kepada rakan penerbangan kami untuk membantu mereka memastikan peningkatan kebolehpercayaan operasi,” katanya. – MalaysiaGazette