KUALA LUMPUR – UEM Edgenta Berhad menjelaskan sebarang sebarang lanjutan kontrak pekerjaan berdasarkan kepada prestasi individu rekod pekerjaan dan kesesuaian petugas kerana hospital adalah kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, sebagai warganegara korporat yang bertanggungjawab, syarikat ini sentiasa mematuhi amalan undang-undang perburuhan Malaysia di seluruh operasinya.

”Syarikat ingin mengulangi bahawa kami profesional dalam hubungan dengan kesatuan dengan pihak-pihak gabungannya dan ingin meyakinkan orang ramai bahawa kami akan terus memastikan tidak ada gangguan perkhidmatan di semua hospital di bawah jagaan syarikat ini.

”Sehubungan itu, syarikat komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menangani perkara itu,” kata UEM Edgenta yang mengulas mengenai memorandum yang dihantar Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan kepada Menteri Kesihatan Malaysia.

Mereka mendakwa seramai 30 ahlinya yang bekerja sebagai pembersih di 33 hospital di utara Semenanjung Malaysia diberhentikan kerja tanpa pembelaan.

Pekerja yang diberhentikan didakwa berusia 60 tahun ke atas.

Kesatuan itu mendakwa tindakan pemberhentian ini bertentangan dengan akujanji syarikat berkenaan sebelum ini yang menyatakan bahawa perkhidmatan pekerja 60 tahun dan ke atas akan disambung jika masih mampu menjalankan tugas. – MalaysiaGazette

30 pekerja sokongan hospital didakwa diberhentikan tanpa pembelaan