Setiausaha Eksekutif, M Sarasvaty bercakap ketika di tembu bual oleh media selepas Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan menyampaikan memorandum kepada Kementerian Kesihatan di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 8 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan mendakwa seramai 30 ahlinya yang bekerja sebagai pembersih di 33 hospital di utara Semenanjung Malaysia diberhentikan kerja tanpa pembelaan.

Setiausaha Eksekutif kesatuan itu, M Sarasvaty berkata, kesemua ahlinya diberhentikan pada 31 Mac 2021 oleh syarikat pengendali pekerja sokongan iaitu Edgenta UEMS Sdn Bhd berumur 60 tahun dan ke atas.

Katanya,  tindakan ini bertentangan dengan akujanji syarikat berkenaan sebelum ini yang menyatakan bahawa perkhidmatan pekerja 60 tahun dan ke atas akan disambung jika masih mampu menjalankan tugas.

“Akan tetapi UEMS telah melanggari akujanjinya dan menjadikan pekerja-pekerja berumur 60 tahun dan ke atas sebagai mangsa,” katanya kepada pemberita di bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia, di sini.

Selain itu, beliau turut mendakwa syarikat berkenaan mengerah tenaga pekerja sokongan hospital-hospital kerajaan di utara Semenanjung Malaysia iaitu, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Kerahan itu didakwa dilakukan dengan memaksa pekerja-pekerja untuk bekerja di lebih daripada dua buah hospital.

Poster dan sepanduk yang di gunakan oleh Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan ketika menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kesihatan di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 8 APRIL 2021.

“Satu wad Covid-19 mempunyai 30 katil pesakit dan lebih kurang 19 tandas. Tapi seorang pekerja pembersihan diarahkan kerja di dua wad Covid-19 yang secara amalannya dilakukan oleh dua pekerja untuk satu wad.

“Keadaan ini menyebabkan pekerja dalam tekanan mental dan tidak dapat bekerja dalam keadaan tenang, sekali gus menjejaskan keharmonian industri,” tambahnya.

Jelasnya, pihak kesatuan telah menghantar surat kepada Edgenta UEMS Sdn Bhd untuk mengadakan perbincangan, namun usaha itu gagal apabila syarikat berkenaan tidak memberikan respons.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar pihak pengurusan KKM khususnya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk campur tangan, seterusnya membantu kesatuan membela nasib golongan sokongan.

Kesatuan berkenaan mendesak agar menteri berkenaan menamatkan segera semua bentuk penindasan yang dilakukan syarikat itu kepada golongan pekerja sokongan di hospital kerajaan di utara Semenanjung.

Dalam masa yang sama, notis persaraan kepada pekerja 60 tahun dan ke atas juga perlu ditarik balik, ujar Sarasvaty.

Beliau juga mahu, akujanji syarikat yang dibuat ketika sesi townhall pada 2 hingga 7 Disember 2019 dikuatkuasakan.

“Akujanji telah diberikan oleh UEMS adalah pekerja-pekerja umur 60 tahun dan ke atas tidak perlu risau mengenai status pekerjaan mereka.

”Mereka akan diberi tawaran kerja berstatus kontrak tanpa tempoh percubaan,” katanya lagi.

Memorandum itu diserahkan oleh Sarasvaty kepada pihak menteri menerusi Pegawai Perhubungan Awam KKM, Mona Ang.- MalaysiaGazette