Penganggur diupah RM200 untuk melemparkan cat merah di rumah penhutang ah long diberkas.

BUTTERWORTH – Seorang penganggur yang menerima upah sebanyak RM200 untuk melemparkan cat merah di kediaman serta lekat notis amaran kepada penghutang ah long berjaya ditahan polis.

Kegiatan penganggur berusia 25 tahun sejak awal tahun ini berjaya dibongkarkansusulan penahanannya pada Selasa lalu di Taman Mesra di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa rumahnya disimbah cat merah pada bahagian dinding luar.

Katanya, satu nota kecil turut ditinggalkan sebagai peringatan untuk membayar hutang bersama nama seorang wanita.

Namun mangsa mendakwa tidak pernah berhutang dengan sesiapa.

Noorzainy Mohd Noor.

“Bertindak atas maklumat kita menahan suspek pada jam 2.30 petang sebelum merampas cat merah serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek.

“Hasil siasatan suspek mengaku terlibat sebanyak enam kes membaling cat membabitkan lima di daerah Seberang Perai Utara (SPU) manakala satu lagi di Seberang Perai Selatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati suspek mendapat upah sebanyak RM200 setiap membaling cat di kediaman mangsa yang gagal melangsaikan hutang ah long tersebut.

Jelas Noorzainy, arahan dan maklumat mangsa akan diberikan menerusi aplikasi WhatsApp dan sebaik selesai kerja upah tersebut akan diberikan kepada suspek

“Suspek bergerak seorang diri dengan menunggang motosikal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Lelaki itu kini direman sehingga 9 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy menegaskan, sebanyak enam kes dilaporkan di daerah SPU membabitkan kes simbah cat dipercayai perbuatan ah long.

“Pihak polis pandang serius kejadian ini kerana ia menyebabkan timbul kegelisahan dan trauma kepada masyarakat,” kata beliau. – MalaysiaGazette