Foto Facebook Sabah Football Club.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Sabah FC menepis dakwaan pihak tertentu mengenai pemain pasukan itu yang dikatakan tidak dibayar gaji selama tiga bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata beliau mengakui memang berlaku kelewatan pembayaran gaji namun tidak pernah tertunggak lebih daripada sebulan.

Beliau juga menafikan pemain mengambil tindakan memboikot sesi latihan pasukan itu semalam disebabkan isu pembayaran gaji seperti tersebar di media sosial sejak malam tadi.

“Setakat ini tiada pemain yang memboikot sesi latihan petang semalam. Latihan selesai awal manakala pemain diminta berehat sebelum terbang ke Pulau Pinang hari ini.

“Pihak pengurusan menyangkal dakwaan yang disebarkan itu. Ia bukan datang daripada kenyataan media rasmi yang dikeluarkan Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya berlaku tunggakan gaji pemain selama tiga bulan yang dikhuatiri menjejaskan semangat pemain dalam aksi Liga Super seterusnya.

Firdaus berkata, sejak mengambil alih pengurusan Sabah FC selama tiga bulan pihaknya sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan pasukan Sang Badak itu dalam landasan terbaik.

“Pihak pengurusan tidak pernah mengabaikan masalah yang dihadapi pemain sama ada di luar atau dalam padang sehingga menjejaskan prestasi Sabah FC.

“Komunikasi di antara pengurusan dengan pemain sangat baik. Pihak pengurusan yakin selepas ini semuanya akan berjalan dengan lancar dan masalah seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette