Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berlangsung di Bangi hari ini.

BANGI – Jangan jadi kakitangan kategori ‘haram’ dalam organisasi sehingga menjejaskan inisiatif untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Beliau berkata, golongan jenis itu suka menabur fitnah dan bijak bermuka-muka sehingga mampu memporak-perandakan keharmonian sesebuah institusi.

“Di mana-mana organisasi pun, biasanya ada empat jenis kakitangan, iaitu kategori ‘wajib’, ‘harus’, ‘makruh’ dan ‘haram’, kita mahu jadi yang wajib kerana bekerja dengan penuh amanah serta berintegriti.

“Bagi kategori harus, ada pun tak menambah, tiada pun tak mengurang, manakala kategori makruh pula mereka yang kurang serius dalam bekerja, jadi kita mesti pastikan untuk jadi kakitangan ketegori wajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 MQA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran dan menjalankan tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan); Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Kanan Akreditasi, Lilian Kek Siew Yick.

Pada majlis itu, seramai 27 kakitangan MQA menerima APC berdasarkan prestasi perkhidmatan tahun lalu.

Mohammad Shatar berkata, sebagai agensi yang menjaga akreditasi pengajian tinggi negara, aspek kualiti amat dititikberatkan terutama dalam budaya kerja.

“Kita umpama sebatang pokok yang mana akar dan batangnya saling memerlukan, sama seperti kakitangan dalam organisasi perlu bekerjasama untuk memberi hasil kerja terbaik.

“Apabila semua kakitangan menunjukkan kualiti kerja terbaik, mudah untuk kita mencapai apa yang dihasratkan termasuk menjadi agensi akreditasi pengajian tinggi bertaraf global,” katanya. – MalaysiaGazette