Polis merampas pisau yang digunakan suspek untuk mengugut menikam abangnya sendiri di Kepala Batas, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Berang ditegur tindakannya menjual peti sejuk milik keluarga, seorang lelaki sanggup mengugut bunuh abangnya sendiri di Kampung Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 26 tahun  dikatakan pulang ke rumah sebelum mendapati peti sejuk di dalam  kediaman itu tiada.

Peniaga tersebut kemudian menyoal adiknya berhubung peti sejuk terbabit sebelum suspek berusia 24 tahun itu mengaku telah menjualnya.

“Bagaimanapun, suspek tiba-tiba dalam keadaan marah mengugut akan mencederakan abangnya menggunakan kayu termasuk cuba menikam dengan pisau.

“Bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain, mangsa tampil membuat laporan,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya,  bertindak atas laporan pihak polis menahan suspek di kediaman tersebut sebelum merampas pisau yang digunakan untuk ugut mangsa.

Noorzainy Mohd Noor.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan semakan ke atas suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Siasatan juga mendapati suspek baru dibebaskan daripada Penjara Jawi bulan lepas atas kesalahan dadah,” kata Noorzainy.

Tambah beliau, suspek kini ditahan bantu siastaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette