Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato' Arjunaidi Mohamed Foto SHAFIY ZUL, 09 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan semula untuk menyiasat satu kumpulan dikenali dengan Lanun Merah Black Maria 360 didakwa menjalankan kegiatan kongsi gelap.

Geng berkenaan bermula sebagai kumpulan pacuan empat roda dengan nama Lanun Merah di Klang, kata Ketua Polis Selangor,  Datuk Arjunaidi Mohamed.

Menurutnya, pihaknya tidak menafikan kewujudan kumpulan berkenaan kerana sudah memantau dan menyiasat mengenai kegiatan mereka sejak tahun 2019.

“Cuma aktiviti yang dijalankan Lanun Merah tidak boleh dibuktikan kerana polis tidak dapat menemui sebarang bukti atau petunjuk yang boleh membawa kepada kesalahan mereka.

“Justeru hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah D7 IPK Selangor ketika itu mendapati tiada sebarang keterangan kukuh yang mengaitkan kumpulan berkenaan dengan aktiviti jenayah pada ketika itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Tambah Arjunaidi, berikutan satu artikel berkaitan Lanun Merah yang disiarkan oleh satu akhbar tempatan, pihaknya membuka semula kertas siasatan ke atas kumpulan berkenaan.

Katanya, polis membuka semula kertas siasatan selepas laporan terbaharu menyusul semula dan satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci.

Menurut beliau, polis turut menerima dakwaan isteri ketua Kumpulan Lanun Merah yang merupakan seorang pegawai polis berpangkat deputi superintendan mendalangi kegiatan kumpulan berkenaan.

“Setakat ini individu yang dinyatakan (polis wanita) belum lagi ditahan polis kerana kita tiada ada petunjuk atau bukti penglibatannya.

“Malah rakaman keterangan wartawan yang melaporkan artikel berkenaan juga sudah diambil polis dan kami bukan mengganggunya tetapi mahu mendapatkan maklumat sebagai petunjuk untuk siasatan kami,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner, Datuk Dev Kumar dilaporkan berkata, siasatan berhubung kumpulan Lanun Merah Black Maria 360 masih di peringkat awal.

“Setakat ini, siasatan berhubung dakwaan itu masih peringkat awal dan beri kami masa. Sebaik ada keputusan (hasil siasatan) berhubung dakwaan itu, kami akan maklumkan kepada pihak media,” katanya.

Mengulas mengenai isu gangsterisme di Selangor, Arjunaidi berkata, pihaknya berjaya menahan seramai 550 individu atas pelbagai kesalahan disyaki terlibat ahli kumpulan kongsi gelap bagi tempoh 2019 hingga Mac tahun 2021.

“Ia melibatkan sebanyak 175 kes dan di antara kes-kes yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap ini meliputi kes pergaduhan, merusuh, bunuh, cuba bunuh, penggunaan senjata api, samun, pemerasan dan lain-lain jenayah kekerasan,” tegasnya.-MalaysiaGazette