Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas semalam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang pekerja kilang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar dalam kenyataannya memberitahu, kejadian  12.25 pagi itu membabitkan kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 26 tahun dan Perodua Myvi yang dipandu mangsa berusia 30 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal yang kemalangan berlaku di lampu isyarat simpang tiga di mana Toyota Vios yang dipandu seorang peniaga itu bergerak dari arah Taman Ungku Tun Aminah menghala ke Mutiara Rini telah merempuh bahagian sisi kanan Perodua Myvi yang dipandu mangsa.
“Mangsa waktu itu bergerak dari arah Jalan Persiaran Jasa dan ingin membelok ke kanan menghala ke Taman Ungku Tun Aminah.
“Ekoran daripada keadaan itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, serta bahagian badan,” katanya.
Mangsa  disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Pemandu Toyota Vios hanya mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital KPJ Johor Bahru.
Katanya, tindakan mengesan saksi bebas sedang dijalankan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) APJ 1987.- MalaysiaGazette