Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar menerima cenderahati daripada Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika merasmikan bangunan baru IPD Temerloh, Pahang hari ini.

TEMERLOH – Anggota Polis Gerakan Am (PGA) sedang giat mengesan kelibat pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang dikehendaki polis di semua pintu sempadan negara ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, kawalan-kawalan di sempadan negara telah diperketatkan dan gambar-gambarnya pula telah diedarkan.

Sehingga kini katanya, tiada maklumat mengesahkan bahawa Nicky berjaya meloloskan diri.

Namun,  pihaknya tidak menolak berkemungkinan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Sajat menggunakan laluan tikus keluar dari sempadan negara.

“Tapi sehingga kini tiada maklumat Datuk Nicky berjaya melepasi sempadan negara.

“Manakala Sajat pula dikatakan ada di Thailand, tapi cara mana dia masuk (Thailand) kita tidak tahu, mungkin melalui jalan tikus. Tetapi semasa dia keluar, kawalan ke atasnya belum dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis  perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat Daerah Temerloh turut dihadiri Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, Malaysia mempunyai banyak laluan tikus, antara 600 hingga 700 dan ia berubah setiap hari.

Menurutnya, usaha mengawal ketat sempadan negara termasuk mengesan lorong-lorong tikus dengan adanya sistem radar berteknologi tinggi masih dalam fasa perbincangan.

“Sistem radar 24 jam boleh mengesan siapa yang nak masuk atau keluar dari negara kita, kini sedang diperkemaskan dan akan dibekalkan dengan sistem ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati masyarakat agar patuh dan memahami situasi semasa yang mengehadkan pergerakan rentas negeri kecuali bersebab, serta tidak mengambil kesempatan dengan alasan yang diberikan.

“Pergerakan rentas negeri dibenarkan tetapi masih banyak cubaan-cubaan dibuat dengan mengemukakan alasan sakit, perubatan, mati dan ada juga yang mengambil kesempatan.”

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas seperti kompaun jika mendapati ada unsur penipuan atau pemalsuan dokumen berkaitan rentas negeri,” tegas Abd Rahim.

Tambahnya laporan harian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan kluster rentas negeri antara paling ramai yang menyumbang kepada penularan Covid-19. – MalaysiaGazette.