KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada Ratu Elizabeth II, kerabat diraja dan rakyat Britain atas kemangkatan Putera Philip, Duke of Edinburgh.

Beliau berkata antara banyak sumbangan baginda adalah pengasas The Duke of Edinburgh International Award, yang memberi kesan positif kepada jutaan anak muda di seluruh dunia.

“The Duke of Edinburgh International Award atau Anugerah Perdana Remaja Rakan Muda, diperkenalkan di Malaysia pada 2000 dan telah mengiktiraf ribuan belia Malaysia atas pencapaian mereka dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan dan pengembaraan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau menambah Duke melawat Malaysia beberapa kali dan sentiasa menjadi sahabat Malaysia.

Muhyiddin berkata United Kingdom, Komanwel dan dunia telah kehilangan seorang tokoh yang hebat.

“Pemergian The Duke of Edinburgh pasti akan diingati, kehilangannya menandakan berakhirnya kehidupan yang dihabiskan untuk menabur bakti demi kebaikan sejagat,” katanya.

Istana Buckingham mengumumkan Putera Philip mangkat pada usia 99 tahun di Istana Windsor.

— BERNAMA