Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda bertitah agar umat Islam mengambil peluang pada bulan yang mulia ini untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan ibadah dan amalan soleh.

“Umat Islam di Malaysia turut diseru mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ikhuwah sesama insan.

“Semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pemulihan di negara ini, baginda bertitah supaya penganjuran majlis-majlis di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan perintah-perintah yang ditetapkan kerajaan.

Justeru itu, baginda turut menasihati umat Islam, khusunya petugas di barisan hadapan supaya terus tabah menjalani ibadah berpuasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

“Umat Islam negara ini turut dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian ini dan berdisplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi SOP,” katanya

Tambah Ahmad Fadil, baginda berdua turut menyeru seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan bagi mendoakan semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati serta wabak Covid-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera. -MalaysiaGazette