Dr Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Ahli Politik yang mempunyai kes tidak perlu ada dwi-standard dan harus dilayan seperti orang biasa.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, situasi berbeza sekiranya pesalah itu adalah penjawat awam yang mana mereka akan digantung perkhidmatannya.

Jelas Rais, situasi itu berbeza dengan ahli politik yang masih boleh ke sana sini biarpun sudah disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Bagi Ahli-ahli wakil rakyat atau Ahli Parlimen misalnya, mereka terus boleh bergiat, waima telah dikenakan beberapa syarat termasuk jamin ataupun termasuk hukuman, lantaran beliau-beliau itu membuat rayuan.

“Tetapi dalam dunia penjawat awam ini tidak berlaku. Jelasnya Ahli-ahli Parlimen wajar difikirkan apakah struktur pasca hukuman yang perlu dilalui yang sekarang ini tidak ada jawapannya, seperti yg kita lihat sekarang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan buku Budi Asas Tamadun nukilan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan pameran jawi jiwa bangsa seni tonggak budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, layanan itu nyata bertentangan dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan.

Ia berkenaan dengan hak kesamarataan bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan kepada rakyat Malaysia seterusnya dapat menegakkan hak asasi manusia.

“Hak ini tidak sama bila dikenakan terhadap seseorang Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Mereka masih terus boleh berkhidmat dan menjalankan tugas yang ada padanya dan dianggap adalah sah.

“Jadi saya nyatakan perbezaan ini bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tak sama. Kalau ada rakyat yang kena, tapi ADUN tak kena, dalam Perkara 8, ia tak adil,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu tidak memperincikan ahli politik mana yang dinyatakan oleh beliau.

Antara Ahli-ahli politik yang telah diheret ke mahkamah ekoran sabitan kes adalah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada Sabtu lalu, Rais mencadangkan supaya sebuah akademi politik ditubuhkan bagi memberikan latihan rasmi kepada wakil rakyat.

Beliau berkata, penubuhan akademi itu perlu difikirkan pucuk pimpinan ke arah membentuk wakil rakyat supaya menjadi pemimpin berwibawa dan celik perundangan. – MalaysiaGazette