Taufan Seroja merosakkan kediaman di barat Australia. foto Agensi

SYDNEY – Taufan Seroja yang melintasi kawasan seluas 1,000 km (621 batu) di barat Australia telah meyebabkan kerosakan.

Badai kategori tiga itu mendarat berhampiran bandar Kalbarri pada hari Ahad dengan angin selaju 170km/jam dan bergerak ke arah tenggara.

Penduduk melaporkan berlaku kerosakan rumah, pokok tumbang dan tiang elektrik jatuh.

Penduduk Kalbarri, Debbie Major berkata, ribut yang melanda bandar peranginan itu sekitar jam 7 malam waktu tempatan (11:00 GMT), ‘mengamuk’ sepanjang malam dan dalam keadaan sungguh menakutkan.

Biro Meteorologi memaklumkan taufan Seroja berada dalam kekuatan luar biasa semalaman, ketika bergerak dari Kalbarri dan di pesisir Geraldton dan ke daratan di seberang “Wheatbelt” di negeri ini.

Walaupun ribut telah lemah, hembusan angin yang lebih perlahan masih dijangkakan pada hari Isnin dengan angin selaju 110km/jam.

Beberapa bandar di tenggara negara itu masih dalam “amaran merah”, yang bermaksud pihak berkuasa menasihati penduduk untuk berlindung.

Pada pagi Isnin, agensi perkhidmatan kecemasan memaklumkan masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana kerosakan yang berlaku.

Agensi ini menerima sebanyak 175 panggilan untuk meminta bantuan dalam tempoh 24 jam, kata jurucakap Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan kepada BBC.

Ribuan kediaman dikatakan tidak mempunyai bekalan elektrik. – MalaysiaGazette