Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette Covid-19 new cases Covid-19 deaths Covid-19 clusters education
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – kes baharu positif Covid-19 meningkat sebanyak 450 kes berbanding semalam, menjadikan kes harian yang dicatatkan pada hari ini sebanyak 1,767 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,758 kes adalah penularan tempatan, masing-masing membabitkan 1,508 warga tempatan dan 250 warga asing.

“Sebanyak sembilan kes pula adalah kes import membabitkan dua warga tempatan dan tujuh warganegara asing.

“Manakala kes sembuh sebanyak 1,290 kes setakat jam 12 tengah hari ini. Ini menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 346,295 kes kumulatif atau 95.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 16,300 kes aktif, manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 199 kes.

“Bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 82 kes,” katanya.

Bagaimanapun kes kematian akibat Covid-19 pula meningkat lapan kes, kepada 12 kes berbanding semalam dengan empat kes sahaja.

“Terdapat 12 kes kematian membabitkan warga tempatan hari ini, masing-masing empat kes di Sabah dan Sarawak, tiga kes di Selangor, dan satu kes di Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham mendedahkan Sarawak merupakan negeri paling tinggi mencatatkan kes baharu dengan 607 kes.

“Angka itu diikuti dengan Selangor (483), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (133), Sabah (117) dan Kelantan (103).

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 363,940 kes kumulatif,” katanya.

Selain itu, lain-lain negeri pula mencatatkan kes baharu Covid-19 di bawah 100 kes iaitu Pulau Pinang yang merekodkan sebanyak 92 kes, diikuti dengan Johor (74), Kedah (39), Perak (36) dan Negeri Sembilan (29).

“Ini diikuti dengan Melaka sebanyak 17 kes, Pahang (14) dan Terengganu (13), Putrajaya (7), Labuan (3) dan Perlis (0),” katanya lagi. – MalaysiaGazette